Saturday, May 8, 2010

PERKARA YG PELAJAR KISAS HAMPIR TERLUPA.

Pada asasnya, hukum bercinta-kasih, berpasangan( couple) atau
seumpamanya adalah harus. Akan tetapi terdapat beberapa
perkara/tindakan yang boleh menyebabkannya menjadi HARAM.

Antaranya : PERTAMA: TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA

Sesebuah perhubungan ˜istimewa" antara seorang lelaki dan wanita
seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk
berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti
tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur,
bersuka-suka dan sebagainya.

KEDUA: TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA

Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti
ber"dating", ber"shoping" dan sebagainya hatta ada yang sampai ke
peringkat "membonceng". Tidak kurang juga (tanpa segan silu)
menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap "caring"
seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti di
dalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus,
perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini
adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan
bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila
Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau
tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut
diharamkan. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : sesuatu yang membawa kepada
yang haram, maka ia juga menjadi haram. Justeru berdasarkan kaedah
ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga
adalah haram.

KETIGA: MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA

Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita
muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si
lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan
bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan
dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau
setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah
dimiliki. Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku
perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat
pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut.
Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya
berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan
seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan
maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan
kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di
luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita.

KEEMPAT: MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR

Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak
menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT)
atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya.
Ajak saja dinner, lunch, breakfeast atau bershoping pasti si lelaki
yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si
perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan
kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya
khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup mentop up handset mereka
beberapa kali dalam seminggu. Cuba
bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat
remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah
pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian.
Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar
selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini
kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Israa ayat 27)

KELIMA: MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA

Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu
kepada perkara yangtidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat
terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan
yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara
marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan
yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang
digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di
hadapan Allah.

Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan
secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang
perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu
dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka
status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku
daripada kasih sayang dan cinta Allah. (Rujuk kitab al-Halal wal Haram
Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)

Friday, May 7, 2010

Peristiwa 6 Mei 2010 :: Al Quran itu cahaya buat kita semua

assalamualaikum sahabat..

hari ini merupakan hari yang mungkin tak akan pernah saya lupa..
air mata turun laju sepanjang jalan pulang ke rumah dari jamiah hari ni..


hari ini saya ada kelas madah Al-Quran Wa Tafsir bersama Ustazah Kahli..
Kami belajar tentang pengumpulan quran dan penurunan wahyu..
Di akhir kelas, ustazah memberi laluan kepada pelajar untuk membentangkan tugas yang telah ditetapkan..
Tajuk yang dibentangkan Yusuf dan Mohamad bertajuk "Kesan Al Quran kepada Bahasa Arab"..

Selesai pembentangan, ustazah memberi komen terhadap isi yang dibentangkan,
Komen pertama ustazah kepada Yusuf
" Bacaan Alquran bukan sahaja di dalam solat, malah, di luar solat juga"
Komen kedua ustazah kepada Mohamad pula
" Penurunan AlQuran dan kesannya kepada bahasa Arab bukan meluas dalam jajahan Arab, tetapi, Jajahan Islam kesuluruhannya. Siapa Arab? Arab adalah suatu bangsa keturunan Nabi Muhammad s.a.w, bertutur dalam bahasa arab. Siapa pula Muslim? Muslim itu adalah orang yang masuk ke dalam Islam, samaada dia arab dan bukan arab. Tidak semestinya, Arab itu Islam. Ada ramai Arab di luar sana beragama Kristian dan Yahudi." ustazah membetulkan fakta itu.

Saya betul-betul bersetuju dengan pendapat ustazah, sambil menunjukkan muka yang bersungguh dan menganggukkan kepala.
Sungguh sebenarnya agak terkilan juga ketika itu, mungkin Mohamad tersalah tulis fakta, tapi saya agak terasa dengan fakta tersebut. Seolah-olah, Islam itu hanyalah untuk Arab.

Usai ustazah memberi komen kepada mereka berdua, ustazah memberi peluang kepada kami yang lain untuk memberi pendapat masing-masing.
Ada yang menambah pendapat, ada juga yang bertanya.
Hari ini, kurang penyertaan yang diterima kerana pembentangan hari ini merupakan pembentangan pertama untuk subjek ini.

Tiba-tiba, Ustazah memandang tepat ke arah saya dan bertanya.
"Awak ingin tambah sesuatu?"
"Saya?" Jawab saya.
"Ya, awak" kata ustazah.

Saya pun tak pasti apa yang terluncur di mulut saya ketika itu. Tapi inilah yang saya jawab kepada ustazah.
"Pada pendapat saya, umat Islam di Malaysia secara umumnya, kami belajar cara untuk membaca Al Quran sejak dari kecil. Kami boleh membaca Al-Quran. Malangnya, kami tak faham apa-apa yang tertulis di dalam Al-Quran. Melainkan dengan terjemah. Jadi, untuk kami faham Al Quran dengan baik, kami mestilah mempelajari Bahasa Arab terlebih dahulu."

Semua orang memandang ke arah saya. Ustazah bertanya lagi.
"Kamu semua membaca Al-Quran dengan Bahasa Arab atau dengan bahasa kamu?"
"Bahasa Arab" jawab saya.
"Jadi ada terjemah Alquran dalam bahasa kamu."
"Ya ustazah"

Ustazah meminta lagi kepada mereka yang lain untuk memberikan pendapat masing-masing. Sebenarnya, saya mahu menambah sesuatu, hati saya sangat tak tenteram dengan jawapan yang mudah dari saya.
Saya mahu menambah, bahawa Al Quran itu mendorong kami yang bukan berbangsa Arab untuk lebih mendalaminya dengan mempelajari Bahasa Arab.

Tapi mulut ini, seakan terkunci.
Oh. Saya tak tahu perasaan sedih untuk apa yang sedang saya tanggung dan rasa sekarang ini.

************************************************************************************

Bila diingatkan kembali, ada seorang kawan saya pernah kata,
"Kamu baca AlQuran, tapi kamu tak faham??? Kesiannya..."

Subhanallah, geram sangat rasa di hati.
Mahma kami tak faham apa yang kami baca tapi kami ada juga terjemah yang membantu kami faham Al Quran.

Sedih.
Sedih, apabila orang Arab yang beruntung dapat memahami Al-Quran dengan baik, tapi tidak mengamalkannya.
Sedih.
Sedih, apabila orang kita membaca Al-Quran tapi tak faham dan tak nak cuba memahami terjemahannya.

Kedua-duanya tak mahu cuba mentadabbur Al-Quran dengan sebaiknya. Sedangkan Al Quran itu diturunkan sebagai petunjuk buat manusia. Buat umat Islam.

UMAT ISLAM =muslimin=kita
Sungguh sayang, seribu kali sayang.

Kita kena berubah untuk mencari keredhaan Allah.
قـول الحق تبارك وتعـالى في سـورة الرعـد : (إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ)

Kita adalah umat yang terpilih sebagai umat yang terbaik.
كما قال عز وجل: (كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ)" سورة آل عمران

Biarlah kita ini, bukan bangsa Arab sekalipun, kita telah terpilih menjadi muslim.
قال صلى الله عليه وسلم
(( لا فرق بين عربي أو أعجمي إلا بالتقوى ...))

Itulah nikmat yang terbesar sekali, iaitu nikmat IMAN dan ISLAM.

Sesungguhnya allah hanya melihat taqwa dalam diri kita.
قال سبحانه وتعالى "يأيها الناس انا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلنكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقكم أن الله عليم خبير" الحجرات


Terasa diri sangat hina. Kerana kurangnya usaha untuk mencari rahsia di sebalik kalam Allah.
Orang yang bukan Islam juga lebih mengkaji Alquran daripada kita.

************************************************************************************

Usai kelas, saya terus keluar dari dewan kuliah tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang lain. Laju saya berjalan mahu meninggalkan tempat itu. Sambil laju air mata turun untuk sebab yang tidak saya pasti.
pelbagai perasaan digaul dengan persoalan di dalam hati.
adakah saya tersalah cakap? apakah yang perlu saya balas untuk soalan sebegitu? adakah saya rasa terhina? saya tak tahu..

Hati saya terus bertekad untuk memartabatkan lagi Bahasa Arab sepulangan saya nanti.

Mohon doa kalian untuk saya terus kuat di sini. Mengutip segala pengalaman untuk dijadikan kekuatan.
Moga Allah sentiasa memberi hidayah kepada kita semua dan semoga mati dalam Islam itu milik kita.
Semoga kita akan teruskan usaha mentadabbur AlQuran dengan sebaiknya.
اللهم انصر الإسلام والمسلمين في كل مكان و في كل زمن

diskriminasi menjatuhkan aku

________________________________________


AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan
Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.
Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya.
Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia.
Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.
Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.

BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.
________________________________________

Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.
Perancis
Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula.
Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.
Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.
"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.
________________________________________


Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.
Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.
Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.
"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.
"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.
Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.
Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.
"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.
"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.
Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.
Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.
"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.
"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.
Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.
Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.

________________________________________


Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud.
Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.
"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.
Keselamatan
"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.
Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.
Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.
Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik

TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.
________________________________________


Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.
"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.
"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.
Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.
"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.
Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.
"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.

WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.
________________________________________

"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.
Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.
"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.
"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya