Tuesday, September 14, 2010

Ukhuwwah fillah abadan abada??

Satu perkongsian..Walaupun agak panjang,luangkan masa anda untuk membaca..



Ini satu penulisan yang sangat panjang. Saya rasa hal ini perlu diterangkan dengan agak dalam (termasuk dalil-dalil dan aspek fiqh) bagi memperjelaskan konsep sebenar yang cuba disampaikan. Semoga ini menjadi satu peringatan berguna buat saya dan anda semua. Amin.

___________________________________________________________________



Sengaja timbulkan topik itu.



Itu merupakan ucapan yang tidak asing lagi didengari di kalangan orang-orang muda yang ada semangat Islam. Itu bagus.

Tapi apa yang menjadi persoalan ialah, apabila ucapan itu kini dijadikan medium untuk merapatkan ukhuwwah antara lelaki dan wanita. Maknanya, ucapan itu dijadikan sebagai alasan bahawa lelaki dan wanita ini perlulah menjaga ukhuwwahnya kerana kita semua saudara seagama.



Sengaja saya menulis sebab saya rasa ada satu kesalahan dalam memahami konsep ini.

Benar, memang lelaki dan wanita Islam itu perlulah menjaga ukhuwwah kerana mereka saudara seagama.

Tetapi, jangan pula disamakan ukhuwwah lelaki dan lelaki (atau perempuan dan perempuan) dengan ukhuwwah lelaki-wanita. Inilah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh ramai pemuda dan pemudi Islam masa ini.



Dulu saya pun pernah tertipu dalam menerima konsep ini, akhirnya kini - alhamdulillah- saya sudah nampak betapa bahayanya perbuatan merapatkan hubungan lelaki-perempuan dengan berlapikkan alasan ukhuwwah fillah (ukhuwwah kerana Allah).









Hukum Pergaulan (ikhtilat) Lelaki dan Perempuan

Mungkin baik untuk kita membincangkan sedikit aspek fiqh bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang pergaulan lelaki-perempuan secara Islami, sebelum kita berbincang lanjut mengenai salah faham yang dimaksudkan di awal perbincangan tadi.

Dalam ilmu usul fiqh, pernyataan ini telah wujud: "asal semua perkara adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengubah hukum hal tersebut". Ini kerana Allah s.w.t telah berfirman:



"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segalanya yang ada di atas bumi.." Al-Baqarah: 30



Namun, keumuman hukum halal atas semua benda ini akan berubah jika ada dalil lain yang mengubah hukumnya. Sebagai contoh, untuk memudahkan pemahaman: pada asalnya, hal A, B, C dan D semuanya dihukumkan harus (halal). Kemudian, turunlah suatu dalil spesifik untuk mengubah hukum B sahaja kepada haram. Jadi kita akan dapati A, C dan D masih halal tetapi hukum B telah berubah. Jadi, A, C, D masih tidak haram berdasarkan kaedah "asal semua benda adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya".

Dalam konteks perbincangan hari ini, pergaulan lelaki dan perempuan telah termasuk ke dalam jenis hal B dalam situasi di atas, di mana kita dapati disebabkan satu dalil, hukum asal 'harus' dalam pergaulan lelaki-wanita telah berubah:



" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." Al-Isra: 32



Lafaz menghampiri di atas menjadi antara hujah ke atas kaedah sadoz zaroi'e (menutup jalan-jalan kemudaratan) dalam ilmu fiqh. Ayat di atas menunjukkan perintah pengharaman bukannya pemakruhan. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa zina merupakan satu kesalahan yang berat sehingga menghampirinya pun dilarang Allah. Istilah "menghampiri zina" itu juga sangat luas maknanya, dalam erti kata lain, boleh jadi lelaki dan perempuan pun sepatutnya tidak boleh berhubung langsung kerana perhubungan lelaki dan wanita memang boleh membawa kepada zina.



Jadi, ikhtilat pun termasuk dalam perkara yang membawa kepada zina, sebab, bukankah dengan campur-gaul lelaki dan wanita boleh mengundang mereka kepada perhubungan yang lebih intim dan seterusnya berzina? Ini masuk akal bukan??



Tapi tunggu dulu. Jangan panik. Islam bukanlah agama yang sebegitu rigid. Islam mengambil jalan tengah dalam banyak hal, dan dalam hal ini Islam tidak menghalalkan secara total perhubungan lelaki-perempuan mahupun mengharamkannya secara total. Masih ada banyak dalil-dalil lain dan hadith-hadith yang perlu diperhatikan sebelum mendapatkan penjelasan hukum yang paling tepat mengenai situasi dan kaedah perhubungan lelaki dan perempuan menurut Islam.



Contohnya, jika perhubungan lelaki dan perempuan langsung tidak dibolehkan, mengapa ada hadith-hadith yang menunjukkan bolehnya lelaki dan perempuan saling memberi salam selagi tiada fitnah atau syahwat? (Rujuk hadith no. 1045 hingga no. 1048 dalam kitab Adabul Mufrad, oleh Imam Al-Bukhari)







Sebagai kesimpulan bagi sub-topik ini, kita dapati ikhtilat:

* Tidak sesuai dihukumkan halal secara total kerana terdapat larangan menghampiri zina dalam ayat 32 surah Al-Isra' di atas, kerana ikhtilat itu berpotensi membawa kepada zina.
* Tidak juga sesuai dihukumkan haram secara total kerana adanya hadith-hadith sahih yang menunjukkan adanya penglibatan antara lelaki dan wanita dalam hal-hal tertentu.

Jadi satu pendapat yang pernah saya dengar dalam satu majlis ilmu yang bagus ialah dengan menyebut asal hukum ikhtilat sebagai "tidak boleh", dalam erti kata lain boleh difahami sebagai: "tidak boleh dilakukan selagi ada sebab yang mengharuskannya". Baik, apakah sebab-sebab itu? Kita akan bincangkan di bawah. Teruskan membaca.



Pergaulan lelaki perempuan: Kerana suka-suka atau bersebab?

Di sini merupakan satu persoalan yang paling penting dalam membahaskan isu 'ukhuwwah lelaki-perempuan' ini. Sepertimana yang telah kita sedia maklum tadi, ukhuwwah lelaki-perempuan itu tidak salah, cuma yang menjadi salah faham ialah bagaimana ukhuwwah tersebut dimanifestasikan.



Apakah contoh manifestasi ukhuwwah? Itulah yang dinamakan perhubungan, komunikasi atau pergaulan antara lelaki-perempuan. Daripada sinilah bangkitnya persoalan-persoalan penting yang menjadi titik penentu antara harusnya atau cegahan terhadap ukhuwwah lelaki-perempuan tersebut. Satu persoalan penting ialah:



"Adakah pergaulan yang terbentuk itu kerana suka-suka atau kerana satu tujuan yang baik?"



Apa yang saya maksudkan dengan 'suka-suka' ialah tabiat ingin melakukan sesuatu kerana mengharapkan keseronokan atau hiburan semata-mata. Dalam konteks perbincangan ini, apabila seorang lelaki itu dikatakan 'suka-suka' sahaja untuk berkomunikasi dengan wanita, ini bermakna dia berkomunikasi dengan wanita tersebut hanya untuk bergurau senda, berbual-bual kosong, atau lain-lain yang tidak penting.



Dan apa yang saya maksudkan dengan tujuan yang baik ialah apabila seorang lelaki itu berinteraksi dengan wanita atas sebab-sebab yang memberi manfaat di mana tanpa berlakunya komunikasi tersebut, urusan sesuatu perkara akan jadi susah. Di sini penglibatan lelaki-wanita untuk berbincang dan sama-sama bekerja (dengan akhlak Islami yang sejati) adalah sangat mustahak dan dituntut dalam Islam.



Sikap ukhuwwah lelaki-perempuan kerana suka-suka sudah tentu perbuatan yang sia-sia dan merosakkan akhlak muslim, sedangkan sikap ukhuwwah kerana tujuan yang baik adalah sesuatu yang didukung oleh syariat Islam.









Akhlak Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.a Terhadap Pergaulan Lelaki-Wanita, Serta Isu-Isu Penting Mengenainya

Dalam bukunya Fatwa Mua'sirah (Fatwa Masa Kini), Dr Yusuf Qardhawi, tokoh a'lim fiqh yang mahsyur masa kini ada menyebut mengenai hadith-hadith (beserta takhrijnya) dan hal-hal berikut:



Daripada Ummu A'tiyyah: "Saya telah menyertai Rasulullah dalam tujuh siri peperangan. Ketika angkatan bergerak, saya berada di barisan belakang. Tugas saya ialah menyediakan makanan, merawat mereka yang cedera serta menjaga mereka yang sakit" (Riwayat Muslim)



Pernah suatu ketika lelaki dan wanita berasak-asak dalam mengajukan soalan kepada Rasulullah. Lalu mereka (wanita) meminta kepada Rasulullah supaya mengkhususkan satu hari untuk mereka tanpa disertai kaum lelaki. Permintaan tersebut telah diterima oleh baginda di mana baginda sendiri kemudiannya mengkhususkan satu hari untuk kaum wanita mempelajari agama, mendengar peringatan dan sebagainya. (Riwayat Bukhari)



Istilah ikhtilat (percampuran atau pergaulan) merupakan satu perkataan yang diimport masuk ke dalam kamus Islam. Ikhtilat tidak sesuai digunakan kerana ia langsung tidak pernah dikenalpasti kewujudannya dalam sejarah kegemilangan Islam melainkan hanya wujud di zaman moden ini sahaja. Istilah yang lebih sesuai berbanding ikhtilat mungkin ialah liqa (pertemuan) ataupun musyarakah (penyertaan).



Demikianlah saya memetik secara ringkas apa yang dinyatakan dalam kitab Fatawa Mua'sarah. Dr. Yusuf Qardhawi sendiri ada menyebut tentang ketidaksuaian penggunaan lafaz "percampuran" dalam menggambarkan interaksi lelaki-perempuan dalam Islam. Apatah lagi jika percampuran tersebut adalah atas hal-hal yang sia-sia?



Mungkin lebih baik jika kita berinteraksi lelaki-wanita berdasarkan konsep penyertaan atau pertemuan seperti dinyatakan di atas. Ini kerana apabila kita sebut perkataan 'penyertaan' atau 'pertemuan' pun, kita dapat merasakan kewujudan satu batasan sosial dalam perhubungan lelaki-wanita tersebut, berbanding dengan lafaz "percampuran". Inilah apa yang disarankan dalam syariat Islam bagi memenuhi tuntutan larangan menghampiri zina tadi. Jadi, selagi mana perhubungan tersebut berlaku menurut adab-adab dalam syariat Islam dan mempunyai matlamat yang murni, maka ia tidak dianggap sebagai menghampiri zina, jadi ia bukanlah satu larangan.



Antara Syarat-Syarat Berhubung Lelaki-Wanita Yang Diambil Mudah Oleh Pemuda-Pemudi Islam

Sekali lagi kita rujuk kitab Fatwa Mu'asarah untuk mengetahui syarat-syarat dalam interaksi lelaki-wanita. Terdapat 6 syarat semuanya, tetapi saya hanya memetik tiga sahaja daripadanya kerana saya rasa inilah syarat-syarat yang sering tidak dipatuhi dalam interaksi antara sesetengah pemuda-pemudi Islam:

* "Kedua-dua belah pihak hendaklah memelihara pandangan; jangan melihat pada aurat, jangan melihat dengan penuh nafsu, atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan. Allah berfirman dalam Al-Quran: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka" Surah An-Nur: 30-31
* Memelihara adab dalam berurusan antara lelaki-wanita, terutamanya kepada wanita: jauhi nada menggoda ketika bercakap (rujuk surah Al-Ahzab:32), berjalan dengan penuh sopan dan tertib (rujuk An-Nur:31 dan Al-Qasas:25), dan mestilah mengelakkan gerakan manja/seksi/menggoncang-goncangkan badan.
* Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja ataupun pada urusan yang memang menuntut kedua-duanya hadir bersama tanpa berlebih-lebih dan melampau.







Inilah 3 syarat yang dimaksudkan. Kita dapat lihat syarat-syarat ini banyak tidak dipatuhi oleh pemuda-pemudi Islam di peringkat sekolah menengah, universiti mahupun yang bekerja. Kita melihat betapa ramainya pemuda-pemudi Islam bebas berkomunikasi dan bercampur-gaul kerana suka-suka dan untuk bergurau-senda, sedangkan mereka itu bukan mahram sesamanya. Perkara ini memang jelas menyalahi etika perhubungan lelaki-wanita dalam Islam. Semoga Allah menjauhkan diri kita daripadanya.



Satu Kesimpulan dan Renungan

Jelaslah kita kini tentang masalah pergaulan yang melanda umat Islam khususnya pemuda-pemudi Islam. Apa yang begitu menyedihkan ialah pergaulan itu boleh pula diisytiharkan atas tema 'ukhwah fillah', sedangkan ia langsung tidak menepati apa yang digariskan dalam syariat Islam. Tidak ada langsung hadith dan ayat Al-Quran yang mengharuskan ukhwah sesama lelaki dan wanita sebegini rupa, iaitu berhubungan kerana suka-suka ataupun mengamalkan adab berhubungan lelaki-wanita yang tidak Islamik.



Pemuda-pemudi Islam telah terpengaruh dengan gaya hidup sosial yang diperkenalkan generasi muda barat. Di sinilah kita lihat ada di antara generasi muda Islam telah mencampur-adukkan adab murni Islami dengan budaya barat. Akibatnya, lahirlah sikap "bergaul lelaki-wanita kerana Allah", di mana mereka menyangka boleh bebas berhubung sesuka hati mereka selagimana mereka menjaga aurat dan pandangan.









ikhtilat elektronikiyyah



Inilah satu perkara yang kerap diambil mudah. Sebenarnya hanya dengan menjaga ciri-ciri zahir dalam perhubungan lelaki dan wanita itu sahaja tidak mencukupi. Matlamat perhubungan dan niat di hati perlu juga dijaga. Dalam erti kata lain, selain menjaga adab-adab berhubung lelaki-wanita menurut Islam, matlamat perhubungan tersebut hendaklah memberi manfaat, dan niat perhubungan tersebut adalah untuk menyelesaikan urusan yang dihajatkan; bukannya diniatkan atas sebab ingin berbual-bual dengan 'si dia' dan sebagainya.

Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada diri saya dan diri anda semua. Sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada kesilapan dalam kehidupan. Orang yang bijak dan baik akan sentiasa memperbaiki dirinya jika adanya kelemahan dan bertaubat daripada melakukannya lagi. Saya berdoa agar saya dan anda tergolong dalam orang seperti itu. Semoga Allah tunjukkan kita ke jalan yang lurus dan kehidupan yang penuh hikmah dan hidayah dariNya.



Wallahu a'lam

Monday, September 6, 2010

Edisi Ramadhan 10: Kamu tidak layak untuk Aidilfitri

Aidilfitri sudah semakin hampir. Bagaimanakah keadaan kita? Ya, pastinya ramai yang bergembira, pastinya ramai yang bersukaria. Kadangkala, hingga kita terlupa bahawa Ramadhan hadiah Allah itu sudah hendak pergi meninggalkan kita. Kadangkala, hingga kita memberhentikan segala ibadah dan amalan kerana kononnya hendak fokus kepada Aidilfitri yang menjelang.

Saya melihat kepada diri saya sendiri. Satu soalan yang beberapa tahun kebelakangan ini saya tanya pada diri.Saya tidak dpt menjumpai jawapan nye lagi walaupun saya berada di skol agama!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Apakah saya adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?

Oh ya, apakah kita ini tahu sebenarnya Aidilfitri itu untuk siapa?

Tahukah?

Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?

Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya?


Makna Aidilfitri dan hakikatnya

Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: ‘idulfitr. Perkataan ‘id + al-fitr.

Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?

Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?

Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.

Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.

Itulah maknanya Aidilfitri.

Persoalannya, apakah kita…?

Persoalannya, apakah kita mengisi Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?

Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?

Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita?

Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan?

Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan sudah hampir hendak pergi, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan?

Saya ada rasa sedikit malu pada diri saya. Sebab saya kira, Aidilfitri bukan untuk saya.

Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka.

Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tak banyakkan pun sedekah. Kita tak rancang apa-apa pun amal untuk Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan ‘keimanan dan berkira-kira’. Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya.

Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Saya rasa malu.

Perayaan Aidilfitri yang hakiki

Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa.

Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.

Tetapi lihatlah, pada 2hb Syawal, kita sudah boleh mula berpuasa enam. Tandanya, 2hb Syawal bukanlah hari besar ummat Islam. Jika di Jordan, suasana ini saya rasai. Pada hari ke-2, sudah berakhir segala promosi raya. Yang ada mungkin hanya ziarah menziarahi sepanjang cuti. Biasanya Kerajaan Jordan akan memberikan cuti sekitar lima hari.

Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari.

Tulisan saya ini, bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah. Tujuan artikel ini ditulis, adalah untuk menunjukkan, di mana hakikatnya kita perlu meletakkan kegembiraan kita yang sebenarnya.

Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih.

Saya lihat, sheikh-sheikh saya yang berdiri lama mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan, yang masuk ‘hard mode’ dalam Ramadhan dalam beribadah dan menyebarkan kebaikan, cukup bersederhana meraikan Aidilfitri sehari cuma.

Saya jujurnya, malu pada diri saya sendiri.

Sebab itu, puisi itu muncul

Puisi yang saya tulis di: http://ms.langitilahi.com/gambar-belum-tiba-lagi-cintaku-hendak-pergi/ bukanlah hakikatnya untuk menghalang diri kita dari menyebut selamat hari raya. Tetapi adalah untuk kita rasa tersindir dengan sikap kita yang sebenarnya tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun, namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk dia.

Saya amat terkesan dengan sahabat merangkap senior saya: Abang Ali Irfan bin Jamaluddin.

Saya berkata kepadanya: “Selamat Hari Raya Abang Ali” Terus dengan pantas dia membalas: “Ish, Ramadhan belum habis lagi”

Ya. Saya malu. Saya jadi malu. Saya telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan saya. Sepatutnya, saya dakap Ramadhan erat-erat sebelum dia meninggalkan saya. Sepatutnya, saya ‘terpaksa’ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me’rela’kan perpisahan saya dengannya.

Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia.

Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik.

Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya.

Penutup: Kita patut lihat diri kita semula. Waktu masih ada

Ada orang tersedar awal. Ada orang tersedar lewat. Walaupun hari ini sudah hari yang ke-27 Ramadhan, dan kita hanya tinggal 2@3 malam sahaja lagi untuk Ramadhan, saya kira masih ada waktu lagi untuk kita memasukkan diri kita dalam kalangan mereka yang layak merayakan Aidilfitri.

Kita sepatutnya melihat semula diri kita. 26 hari belakang ini, apakah yang telah kita lakukan.

Kemudian perhatikan, apakah kita ini hakikatnya layak merayakan Aidilfitri?

Malu. Saya hanya mampu berkata itu pada diri saya.

Sama-samalah kita muhasabah.

Waktu masih ada.

Jangan jadi hamba yang tidak bersyukur, kemudian celaka.

Wednesday, September 1, 2010

LAILATUL QADAR Mencari Kemuliaan Taqarrub

Firman Allah swt :

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,

2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?

3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);

5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

( Surah al Qadar . Ayat : 1 – 5 )

Malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” adalah merupakan malam terbaik bahkan malam yang paling mulia disediakan oleh Allah ‘semalam dalam tempoh setahun’ .

Sabda Rasulullah saw :[1]

وَ مَنْ قَامَ لَيْلَةَ اْلقَدْرِ إِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ .

“ dan barangsiapa yang mendirikan ( ibadah ) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penghayatan ( mengharapkan redho Allah ) nescaya diampunkan baginya segala dosa – dosanya yang telah lalu.”

( Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim )

Al Imam an Nawawi rhm menyebut [2]: “ Lailatul Qadar adalah seafdhal – afdhal malam di dalam setahun. Barangsiapa yang mengadakan ibadah ( qiamullail ) pada malam Lailatul Qadar sekalipun ia tidak diberi taufiq untuk menyaksikan alamat – alamat Lailatul Qadar , nescaya ia dibalas dengan balasan yang tersebut.”

Rebutlah Peluang Taqarrub ini.

Setiap individu muslim yang menyertai Madrasah atau University of Ramadhan ini , sangat dituntut untuk mencari dan mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini . Ia menjadi sunnah nabi kita Muhammad saw. dan juga menjadi amalan dan rebutan para salafussoleh untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Rasulullah saw pernah bersabda :[3]

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَ يَقُوْلُ : تَحَرُّوْا لَيْلَةَ اْلقَدْرِ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ .

“ daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh – sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam – malam sepuluh akhir Ramadhan .”

( Riwayat Imam Bukhari . )

Rasulullah saw. melipat ganda amalan atau ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt. pada 10 malam akhir di bulan Ramadhan . Ini dapat dilihat dalam satu hadith yang diriwayat dari A’isyah Rha .[4]

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ اْلعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَ أَحْيَا لَيْلَهُ وَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ .

“ dari A’isyah Rha berkata : adalah Nabi saw. apabila memasuki 10 akhir Ramadhan , Baginda bersungguh – sungguh mengerjakan ibadah dan menghidupkan malamnya dan menggerakkan anak isterinya ( agar bangun beribadah )”

( Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim )

Taqarrub sebagai Jambatan Nusrah.

Golongan yang hampir dan dikasihi Allah swt. sepantasnya layak menerima pertolongan dan kemenangan dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Tentunya kita sangat memerlukan pertolongan dan kemenangan tersebut di kala dunia kini gersang dari rahmat Ilahi.

Tidak mudah untuk merentasi medan yang penuh cabaran dan rintangan ini melainkan pejuang yang diperkayakan dengan taufiq dan nusrah ilahi , namun untuk mendapatkan taufiq dan nusrah malah anugerah syurga itu pula hanya terbuka kepada mereka yang hampirkan diri kepada Allah swt .

“ Dan (puak Yang ketiga pula ialah) orang-orang Yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - Yang akan mendahului (mencapai balasan Yang sebaik-baiknya di akhirat kelak) Mereka itulah orang-orang Yang dihampirkan ( di sisi Allah ) , (Tinggal menetap) di Dalam Syurga-syurga Yang penuh nikmat.”

( Surah al Waaqia’h . Ayat : 10 – 12 )

[1] Imam Bukhari di dalam sohihnya : 253 / 2 dan Imam Muslim di dalam sohihnya 524 /1 [2] Raudhah at Tolibin 389 / 2 dan Fathul Baari 267 / 4 [3] Sohih Bukhari : 254 / 2 [4] Sohih Imam Bukhari : 255 / 2 dan Sohih Imam Muslim : 832 / 2