Assalamualaikum para penonton sekalian,
Pada fasa ke tiga Ramadhan 1434 H, bilal
meniupkan wisel tanda bermulanya perlawanan akhir, Piala
Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan
penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan
pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan
tempatan, Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di
konti-konti Masjid berdekatan.
Untuk makluman saudara sekalian,
Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh
seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu
Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Umpat meletakkan pasukan
mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat. Strategi 3-4-4
dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang barisan
pemain muda Taqwa United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh
Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan
rangkaian serangan emas yang dibarisi Roque Syahwat Cruz, Carlos Umpat,
Dengki-ho dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim
lalu dengan 30 gol setiap hari)
Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan
Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan
sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai
seperti Pose Kosong dan Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat
seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah
pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal
mengekang kelincahan Gareth Boros dan Stephen IkutNafsu terutama ketika waktu
berbuka dan di pusat membeli-belah di separuh masa pertama.
Begitu juga dengan rangkaian serangan
pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah
untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan
lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho dan Kolo TidoLajak. Tambahan pula,
penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti
kedua-dua tembok besar pasukan Nafsu City itu untuk menjaringkan gol-gol yang
diperlukan.
Namun penganalisa tempatan begitu optimis
bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh
masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung,
Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang
merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di
Aidilfitri.
Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati,
anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang
dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah
Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi
mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran
dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United
mengejar impian mereka bergelar Juara.
Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu
City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing.
Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat
team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata
dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang
Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan
bahang perlawanan.
Siapakah yang akan memenangi perlawanan
berprestij ini? Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api
neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan
akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim
ini? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi
akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada
musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang
pasukan lain mengejar impian akhirat.
Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawan
akhir ini...
Sekian dari saya, Hizbullah Awang untuk
anda yang masih termenung di luar sana.